Masa kecil-kecil dulu, kami sekeluarga duduk dengan atuk. Bila malam, kena bentang tilam, gantung kelambu dan bergelimpanganlah kami tidur di ruang tengah. Pasang satu lampu (mentol) supaya tak terlalu gelap. Kalau mentol terbakar, gembiralah kami kerana dapat merasa mentol warna lain pula (dan selalunya abah akan tetap beli mentol warna biru jugak!)

Awal tahun 1996, abah bagi tahu hajat nak buat rumah sendiri pada atuk. Pada mulanya atuk tak berapa berkenan. Lagi pula atuk akan duduk dengan busu. Biarlah kami sekeluarga yang menjaga rumahnya. Adik beradik abah pun bukannya berkira sangat pasal rumah tu. Tapi abah jelaskan baik-baik. Tak sedap rasanya kalau kami masih menumpang rumah tu. Elok juga kalau rumah tu disewakan. Dapat juga atuk merasa duitnya bulan-bulan.

Hujung tahun 1996, siaplah rumah kami. Gembiranya Tuhan sahaja yang tahu. Maklumlah, dapat merasa bilik sendiri. Yang lelaki satu bilik, yang perempuan satu bilik.

Bila adik-adik saya yang perempuan makin besar, mak dan abah makin pening. Yang seorang tu jenis pengemas, yang seorang tu pula kurang pula tahap kekemasannya. Standard kekemasan masing-masing berbeza. Sikit-sikit yang tu menangis, yang ini merajuk. Lantas, mak dan abah usahakan buat lagi 3 bilik. Kami yang lelaki masih lagi berkongsi bilik (maklumlah, semuanya bukan ada di rumah. Masing-masing belajar merata), yang perempuan dapat bilik sorang satu, satu bilik jadi bilik tamu dan satu lagi bilik jadi stor. Mak kata, kalau kami semua dah berkeluarga senanglah nanti kalau semua balik. Masing-masing ada bilik sendiri (dan masa tu juga kami berebut cop bilik sebab tak nak dapat bilik stor. Hahaha.)

Dan sekarang saya sudah pun bekerja. Baru saya tahu bukan mudah (dan tentunya bukan murah) untuk memiliki sebuah rumah. Menonton di kaca TV, mat despatch atau minah kilang duduk di rumah (atau apartment), dengan hiasan yang menarik (ada tu yang siap dengan konsep Bali lagi) – tapi hakikatnya, bekerja sebagai seorang eksekutif pun belum tentu dapat beli rumah macam tu! (maksud saya, sekurang-kurangnya perlukan beberapa tahun juga sebelum dapat beli rumah!)

Sesekali bila saya pulang, rumah kami masih seperti dulu. Cuma rumah enam bilik itu hanya tinggal dua orang penghuninya – emak dan abah. Kalau pun kami balik, susah untuk berkumpul semuanya. Bila orang ni balik, orang tu pula ada peperiksaan di kolej. Bila orang tu balik, orang ni pulak ada urusan di tempat kerja.

Tapi bila semua ada di rumah, macam nak pecah pula rumah tu. Orang yang ni dengan gitarnya, yang itu dengan radionya. Dan bila malam, semua masuk bilik, ambil bantal – dan tidur bergelimpangan depan TV. Penat je mak abah buat bilik!

These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Furl
  • Reddit
  • Spurl
  • StumbleUpon
  • Technorati